7 MEI : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengarahkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dibubar sementara berkuat kuasa, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan melalui surat bertarikh hari ini susulan kegagalan MTUC mengemukakan beberapa maklumat penting sebagaimana diarahkan sebelum ini.
“Menurut perintah rasmi di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, RoS mendapati MTUC tidak mematuhi arahan bertulis bertarikh 6 April lalu khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang diaudit.
“Selain itu, MTUC turut tidak melampirkan maklumat perihal kewangan atau harta daripada pihak luar negara bagi tempoh antara 2020 hingga 2025,” menurut surat berkenaan.
Justeru itu, RoS memerintahkan supaya pendaftaran MTUC dibubarkan secara sementara bermula 7 Mei 2026, sementara menunggu sebarang rayuan atau keputusan lanjut.
Selain itu, RoS memaklumkan jika tiada rayuan daripada MTUC dalam tempoh 30 hari atau rayuan ditolak, pembubaran sementara itu akan jadi muktamad.
Susulan itu, menurut RoS, MTUC akan dianggap sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang.
Mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana individu yang terus menguruskan pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya sekali.
Namun MTUC boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.