13 MAC : Barisan kepimpinan masyarakat digalakkan membantu kerajaan dalam menjelaskan dasar dan kejayaan yang dicapai kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin tidak perlu mengendahkah tohmahan dilempar kepada kerajaan.
Sebaiknya, beliau mahu pemimpin menggunakan masa yang ada untuk menjelaskan inisiatif kerajaan bukannya menjawab setiap tohmahan.
“Kalau ada yang kata dia tahu kita tidak buat apa, itu tidak betul. Saya boleh katakan hampir semua dapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan untuk tahun 2025, kita peruntuk RM13 bilion.
“Begitu juga soal pelaburan dan ekonomi yang semakin baik.. juga soal gaji penjawat awam yang kita tambah baik selepas lebih 12 tahun tiada perubahan ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pimpinan Masyarakat Tempatan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan exco kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pentadbirannya sentiasa bersedia mendengar sebarang cadangan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Sempena Ramadan, Anwar menyeru pimpinan kerajaan dan masyarakat menggunakan peruntukan sendiri serta tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam menyalurkan bantuan.
Katanya, dalam memaknai erti sebenar Ramadan, setiap umat Islam khususnya pemimpin seharusnya berlumba-lumba melakukan kebaikan menggunakan imbuhan yang diterima.
“Saranan ini peringatan kepada saya juga, jangan pakai peruntukan Jabatan Perdana Menteri dalam memberi sumbangan tetapi guna peruntukan sendiri, itu baru memaknai erti Ramadan sebenarnya.
“Masih ada kebocoran, rasuah, penyelewengan, masih ada simpanan wang yang banyak di rumah. Mana Ramadan kita, mana kesan ibadah itu dalam kehidupan dan amalan kita.
“Sebab itu, Ramadan mengajar kita tentang soal integriti, akhlak, moral dan nilai harus diterapkan dalam kehidupan,” katanya.
*Foto : Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar