4 APR : PKR bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (PH) dan kini Kerajaan MADANI akan terus berusaha membawa islah dan memperbaiki keadaan.
Demikian kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil sempena ulang tahun ke-26 parti itu, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, PKR merupakan sebuah parti yang membawa obor reformasi serta mengangkat martabat rakyat.
“Hari bersejarah ini menyaksikan 26 tahun lahirnya sebuah parti bernama PKR yang membawa obor reformasi, mengangkat martabat rakyat, dan membina sebuah negara yang lebih baik dan adil buat semua.
“Dari jalan raya, melalui pilihanraya, hinggalah ke Putrajaya, PKR bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam Pakatan Harapan dan kini Kerajaan MADANI akan terus berusaha membawa islah dan memperbaiki keadaan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap PKR dan Kerajaan MADANI akan terus utuh dan teguh dalam membina masa depan yang lebih baik untuk bangsa dan negara.
“Tahniah buat semua anggota, pimpinan malah juga penyokong parti dari seluruh pelusuk tanah air dari Padang Besar hingga Semporna atas kesabaran dan ketabahan, idealisme yang tidak luntur serta kesetiaan dalam perjuangan,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK