9 NOV : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan China yang disyaki terbabit dalam aktiviti perisikan bagi pihak Beijing.
Dakwaan itu mencetuskan perhatian di Amerika Syarikat (AS) sehingga lembaga pengarah Nvidia melancarkan siasatan bebas bagi meneliti kemungkinan Jensen menjadi sasaran operasi perisikan asing,
Menurut laporan BBC yang memetik The New York Times, pegawai perisikan AS percaya wanita berkenaan, Alice Huang mempunyai hubungan rapat dengan Jensen dan disyaki menjalankan aktiviti perisikan untuk kerajaan China.
Dalam perkembangan berasingan, Jensen mengakui berlaku curang terhadap isterinya serta memohon maaf kepada keluarga, selain mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya.
Bagaimanapun, Nvidia memaklumkan setakat ini tiada bukti rahsia syarikat atau keselamatan negara itu terjejas.
Isu itu turut mencetuskan desakan dalam kalangan beberapa anggota Republikan di Kongres AS supaya Jensen tampil menjelaskan mengenai langkah perlindungan syarikat daripada ancaman pengintipan asing.
Perhatian terhadap Nvidia bukan sesuatu yang kecil memandangkan syarikat itu mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.5 trilion dan membekalkan cip berprestasi tinggi yang menjadi asas pembangunan teknologi AI oleh pemain industri termasuk OpenAI dan Meta.
Sementara itu, Beijing menolak dakwaan terbabit dan menyifatkan tuduhan China menjalankan operasi perisikan terhadap ketua Nvidia itu spekulasi yang tidak berasas.