10 MEI : Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan ke India dan Pakistan susulan pergolakan yang semakin meruncing di kedua-dua negara tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut meminta bagi mereka yang berada di negara berkenaan agar mengelakkan diri daripada ke tempat yang bermasalah terutama Kashmir.
Pada masa sama, mereka dinasihat untuk mengemas kini maklumat keberadaan masing-masing kepada kedutaan atau pejabat konsulat.
“Lampirkan nombor untuk dihubungi beserta alamat, jika ada apa-apa keperluan, pihak kedutaan akan mudah menghubungi mereka.
“Rakyat yang berada di sana juga dinasihat untuk mengelak pergi ke daerah yang bermasalah terutama di Kashmir.
“Batalkan dulu apa juga perjalanan ke sana agar tidak menjadi mangsa atau terjejas jika terjadinya perkara-perkara tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Senawang 3, hari ini.
Menurut Mohamad, sejajar dengan kenyataan media dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia meminta India dan Pakistan untuk ‘stand down’ bagi mengelak keadaan tidak menentu dan situasi tegang berterusan berlaku.
“Malaysia risau dengan keadaan saling berbalas tembakan menggunakan dron dan roket. Ini perlu dielakkan.
“Kita harap pemimpin kedua-dua negara memikirkan gambaran lebih besar daripada melihat situasi yang boleh menyebabkan hubungan dua negara terjejas,” katanya.
Selain itu, katanya, Malaysia sudah menyatakan pendirian dengan jelas agar siasatan dijalanka dan tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan keganasan hingga menyebabkan banyak nyawa terkorban.