15 MEI : Kesepaduan dalam kalangan negara ASEAN perlu diperkukuh bagi mendepani persekitaran geopolitik yang berubah.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan ekonomi dan kebersamaan ASEAN.
“Kami telah menunjukkan kesepaduan. Saya fikir kita perlu mengukuhkan ikatan itu bersama dalam persekitaran geopolitik yang berubah ini.
“Fokusnya adalah pada perdagangan dalaman, pelaburan dan mengambil pendirian bersama berhubung kuasa besar dan jiran kami,” katanya.
Beliau berkata demikia dalam temu bual bersama wartawan kanan, Mary Ann Jolley bagi 101 East Al Jazeera, yang disiarkan pada Khamis di platform YouTube.
Dalam temu bual sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hubungan Malaysia dengan negara jiran berada pada tahap cemerlang.
Katanya, isu serantau lebih baik untuk diselesaikan melalui penglibatan peribadi secara langsung.
Mengulas soal tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS), Anwar akui ia memberi impak negatif kepada negara namun katanya, kesan dirasai semua negara itu dapat dikurangkan dengan perpaduan.
“Jika kita dapat menjamin perpaduan ASEAN, kita mungkin dapat mengurangkan sedikit kesannya,” katanya.
Berkait isu penipuan siber yang semakin berleluasa di Asia Tenggara termasuk Kemboja, Anwar berkata ASEAN bertindak dengan meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Pada masa sama, Anwar juga menafikan dakwaan kerajaan Kemboja terlibat secara langsung dalam industri penipuan itu meski dakwaan dalam laporan badan pemerhati antarabangsa.
“Kami kini mempunyai penglibatan yang lebih proaktif dalam ASEAN mengenai keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan…Kami sedang berusaha ke arah mewujudkan peraturan bersama,” katanya,lapor Bernama.
Tambahnya, Malaysia akan terus mengekalkan kerjasama rapat dan berkesan dengan Kemboja sambil menggambarkannya sebagai ‘tiada tandingan’.