Malaysia cadang anjur Sidang Kemuncak ASEAN-AS
25 MEI : Malaysia mengutus surat jemputan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini kepada Washington.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan perkara itu, hari ini.
Katanya, Putrajaya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini masih menanti maklum balas pentadbiran AS terhadap surat diutus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
“Kita masih belum menerima jawapan rasmi daripada pihak AS.
“Namun kita berharap akan menerima maklum balas positif tidak lama lagi supaya sidang kemuncak ini dapat direalisasikan pada masa sesuai dalam tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, hari ini.
Terdahulu, Mohamad berkata cadangan penganjuran persidangan itu sudah dipersetujui di peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Katanya, ia bagi memastikan blok itu tidak dilihat cenderung kepada mana-mana negara.
Selain itu Mohamad dilaporkan berkata Malaysia menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah bagi penganjuran sidang kemuncak khas berkenaan namun segalanya masih bergantung kepada keputusan AS terhadap syor itu.
Sebelumnya, Mohamad mempengerusikan beberapa mesyuarat penting antaranya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-36.
