3 JUN : Kementerian Komunikasi memandang serius cadangan pindaan undang-undang bagi mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkait cadangan itu.
Menurut Fahmi perbincangan tersebut penting berikutan cadangan Azalina untuk meminda undang-undang sedia ada termasuk mewajibkan ibu bapa dan penjaga memantau tingkah laku dalam talian anak-anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.
Katnaya, langkah itu mengambil kira pengalaman dan pendekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dalam menangani pelbagai isu berkaitan di negara ini.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Azalina untuk melihat cara-cara berdasarkan pengalaman MCMC dan Kementerian Komunikasi berdepan dengan platform-platform media sosial, apa yang boleh kita lakukan,” katanya, lapor Bernama.
Fahmi berkata demikian selepas Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan perasmian Motorhome-Bernama Mobile Studio di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh soal penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 tidak lama lagi, Fahmi berkata akta itu memberi kuasa kepada MCMC untuk mengambil tindakan terhadap platform media sosial yang ingkar pada tanggungjawab mereka.
“Jadi kita akan lihat apakah cara yang terbaik untuk membantu Menteri Undang-Undang dalam pelaksanaan dan penggubalan akta yang beliau maksudkan itu,” katanya.
*Foto: Facebook Kementerian Komunikasi