5 JUN : Malaysia mengecam kemunafikan negara-negara tertentu yang mendabik dada kononnya menjunjung hak asasi, namun secara diam membenarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza tanpa sebarang tindakan yang bermaruah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebungkaman negara-negara itu kepada kezaliman merupakan satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dasar luar negara Malaysia tidak ditentukan oleh kuasa-kuasa luar, sebaliknya terbina atas dasar kepentingan nasional dan keyakinan yang teguh.
Perkara itu disampaikan Anwar kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian ketika menerima panggilan telefon, hari ini.
Kata Anwar, dalam semangat Aidiladha yang mengangkat nilai pengorbanan dan semangat keadilan, beliau menzahirkan penghargaan mendalam atas usaha dan ketegasan Masoud yang konsisten mempertahankan nasib warga Palestin khususnya di Gaza.
Tegasnya, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penjajahan dan pengusiran warga Gaza.
Selain itu, kata Anwar, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Masoud atas usaha murni dalam memudahkan urusan pemulangan dua warganegara Malaysia yang sebelum ini ditahan di Iran.
“Saya juga menyatakan penghargaan kepada Presiden Masoud tatkala menerima kunjungan dari kedua-dua Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir baru-baru ini ke Tehran sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, teknologi, keterjaminan makanan, perdagangan serta pelaburan termasuk sektor minyak dan gas.
“Dalam perbincangan yang sama, Malaysia menyambut baik keputusan untuk menyambung semula operasi penerbangan Mahan Air dari Tehran ke Kuala Lumpur yang tentunya akan membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi hubungan ekonomi dan antara rakyat ke rakyat (people to people).
“Semoga sambutan Aidiladha pada tahun ini membawa rahmat, peneguhan iman, penyatuan umat di seluruh dunia,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim
*OLEH : HANUM RAJAK