6 JUN : “Mereka baru terfikir nak buat?”. Demikian reaksi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkait penubuhan Sekretariat Orang Melayu.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata sekretariat itu ditubuhkan bermotifkan politik semata-mata.
Katanya, inisiatif Kerajaan MADANI lebih agresif melalui Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) untuk memperjuangkan hak Bumiputera di negara ini.
Malah katanya, perancangan KEB juga lebih fokus dan konsisten untuk membela Bumiputera secara keseluruhan.
“Berkenaan hak orang Melayu, ia sudah lama diperjuangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang saban tahun fokus terhadap nasib Bumiputera. Begitu juga usaha membangunkan Bumiputera melalui KEB yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Kita telah lama melaksanakan inisiatif sebegini sejak zaman-berzaman, tidak masuk akal mereka baru terfikir untuk buat perkara sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Perdana Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi Di Pelbagai Negeri di Shah Alam, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata berbanding sekretariat itu, peranan dimainkan KEB lebih luas dan efektif untuk memajukan golongan Bumiputera secara keseluruhan dan bukan tertumpu kepada orang Melayu semata-mata.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan sekretariat itu sebagai satu payung besar untuk menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu.
Menurut Dr Mahathir, inisiatif itu merupakan langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.