9 JUN : Larangan kemasukan rakyat dari 12 negara ke Amerika Syarikat (AS) mula dikuat kuasa awal pagi tadi.
Negara yang terjejas larangan perjalanan itu adalah Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Sementara tujuh lagi negara dikenakan separa sekatan iaitu Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.
Sekatan dikenakan Presiden AS, Donald Trump itu dibuat atas alasan melindungi negaranya dari ancaman pengganas asing.
Kata Trump, sekatan paling ketat dikenakan terhadap negara yang dikenal pasti mempunyai pengganas berskala besar dan gagal bekerjasama dalam keselamatan visa.
Selain itu, negara berkenaan juga tidak mampu mengesahkan identiti pelancong, mempunyai rekod jenayah tidak lengkap dan merekodkan kadar pelanggaran visa yang tinggi di AS.
Larangan ini bukan keputusan baharu di mana pada penggal pertamanya dahulu, Trump melarang pelawat dari tujuh negara yang majoriti Islam.
Sementara itu, wakil rakyat parti Demokratik di AS menyuarakan kebimbangan terhadap dasar Trump itu yang disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak mematuhi Perlembagaan.