12 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menaruh harapan agar dua menterinya yang mengundurkan diri kembali semula ke Kabinet.
Beliau memaklumkan masih belum meluluskan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad setakat ini.
Anwar berkata beliau masih mahu memberi masa kepada dua menteri tersebut untuk berfikir lebih mendalam sebelum keluar Kabinet.
Menurut Anwar, beliau hanya memberi kelulusan terhadap cuti yang dipohon dua menteri berkenaan.
“Saya kalau boleh, (mahu) mereka sertai semula Kabinet. Surat dah terima tapi saya belum terima peletakan jawatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Melaka, hari ini.
Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan pengunduran diri daripada Kabinet selepas masing-masing tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudiannya mengesahkan penerimaan surat permohonan cuti dan pengunduran diri mereka.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan semua pihak dalam PKR bahawa parti itu milik bersama.
Justeru itu katanya, PKR tidak boleh dianggap sebagai parti milik peribadi untuk sesiapa pun.
“Saya sekarang boleh bekerjasama dengan UMNO, sekarang ‘peluk-peluk’ sebab dia ada masa depan dan agenda besar.
“Kalau dengan UMNO boleh bekerjasama, inikan pula dengan kawan-kawan kita yang berbeza pendapat,” katanya.