Malaysia tetap hantar wakil ke persidangan PBB

13 JUN : Malaysia tetap akan menghantar wakil ke persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung mulai 17 Jun ini di New York.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkata itu, hari ini.
Meski terdapat usaha Amerika Syarikat (AS) menghalang penyertaan negara-negara lain, namun Anwar berkata setiap negara berhak untuk hadir dan mengemukakan pandangan.
“Mana-mana negara berhak hadir untuk kemukakan pandangan mereka terutama keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza. Itu pandangan kita.
“Jadi saya menyokong inisiatif dalam hal ini oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan juga Presiden Perancis, Emmanuel Macron,” katanya, lapor Awani.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata Malaysia menyokong penuh usaha antarabangsa yang diterajui Arab Saudi dan Perancis dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
Terdahulu, AS dilaporkan mendesak negara-negara luar agar memboikot persidangan anjuran Perancis dan Arab Saudi itu.
Pentadbiran Donald Trump memberi amaran kepada mana-mana negara yang menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar AS dan mungkin berdepan kesan dari sudut diplomatik.
Persidangan itu dianjurkan bagi memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap kerangka penyelesaian dua negara di tengah-tengah kebimbangan terhadap tindakan unilateral dan polarisasi yang semakin mendalam.
