5 JUL : Syor dikemukakan berkait penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembelian insurans kesihatan bukanlah mandatori sebaliknya bersifat sukarela.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan pihaknya itu memberi pilihan kepada pencarum.
Menurutnya, langkah itu memberi fleksibiliti kepada rakyat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan asas yang lebih menyeluruh.
“Penggunaan yang dikatakan daripada Akaun 2 KWSP bukan satu perkara yang mandatori atau wajib, bahkan insurans asas ini juga tidak wajib.
“Saya tekankan lagi, ia bukan satu yang wajib, ia adalah pilihan yang kita cuba bangunkan, selain pelbagai lagi produk insurans kesihatan swasta yang ada di pasaran,” katanya.
Katanya syor itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia serta pihak insurans dan takaful kesihatan swasta.
Jelasnya, Akaun 2 memang dikhususkan untuk perkara-perkara berkait pendidikan dan kesihatan dan inisiatif itu tiada kaitan dengan Akaun 1.
“Ia tidak ada kaitan dengan Akaun 1 yang merupakan simpanan untuk hari tua. Akaun 2 adalah untuk hal-hal prapersaraan seperti pendidikan dan kesihatan.
“Sekali lagi ia bukan mandatori, insurans itu juga adalah sukarela, ‘voluntary’,” katanya.