Kerjasama Malaysia-Perancis rentas sektor berimpak tinggi

5 JUL : Kerjasama strategik Malaysia dan Perancis akan terus berkembang merentas sektor berimpak tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia meliputi teknologi aeroangkasa, tenaga bersih, pendidikan tinggi, kecerdasan buatan dan pertukaran pelajar.
“Perbincangan saya bersama Presiden, Emmanuel Macron berlangsung dalam suasana yang amat terbuka dan jujur, mencerminkan tradisi keterbukaan, toleransi dan kebijaksanaan yang menjadi tunjang demokrasi Perancis.
“Saya mengangkat semangat ini sebagai asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mendepani pelbagai cabaran global dengan berani dan berprinsip.
“Kerjasama strategik Malaysia dan Perancis terus berkembang merentas sektor berimpak tinggi daripada teknologi aeroangkasa menerusi Airbus, tenaga bersih bersama PETRONAS dan syarikat Perancis hinggalah pendidikan tinggi, kecerdasan buatan serta pertukaran pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan Malaysia kekal konsisten menolak keganasan terhadap orang awam dan segala bentuk pilih kasih.
Justeru itu, beliau menyokong usaha Macron dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan dunia.
“Saya juga menghargai ketegasan Presiden Macron yang mendesak agar rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera,” katanya.
Menurut Anwar, dalam pertemuan itu beliau dan Macron menyentuh nilai-nilai bersama dan sifat kewarganegaraan yang menyatukan masyarakat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam dunia hari ini yang sarat dengan ketidaktentuan, beliau dan Macron sependapat bahawa kerjasama tulen mestilah berlandaskan rasa saling hormat, kepercayaan dan kejelasan moral untuk melihat satu sama lain.
Tegasnya, ia bukan sebagai alat kepentingan tetapi sebagai rakan setara dalam membentuk suatu tertib dunia yang lebih adil.
Katanya, Malaysia akan terus menjadi rakan yang konstruktif dan komited dalam memperkukuh multilateralisme serta usaha ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi dunia yang lebih aman.
“Terima kasih Presiden Macron atas sambutan yang amat mesra dan komitmen beliau terhadap hubungan erat Malaysia dan Perancis.
“Saya turut mengundang beliau untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia demi meneroka potensi baharu dalam kerjasama dua hala, ASEAN dan peringkat global,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK