5 JUL : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan perkhidmatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban bertegas sebarang urusan imigresen perlu dijalankan di Pejabat Imigresen.
“JIM ingin menegaskan bahawa Jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen untuk menguruskan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen.
“Sebarang urusan berkaitan perkhidmatan imigresen hendaklah dilakukan di Pejabat Imigresen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Penegasan itu dibuat susulan kewujudan aktiviti mempromosi perkhidmatan imigresen di media sosial.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius kegiatan beberapa akaun media sosial yang didapati secara terbuka mempromosikan perkhidmatan urusan perjalanan masuk dan keluar Malaysia, menghapus status ‘blacklist’ dalam sistem JIM dan urusan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tidak wujud kepada warganegara asing termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Siasatan awal mendapati akaun-akaun media sosial ini mengenakan bayaran tertentu terhadap setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Katanya, aktiviti itu disahkan sebagai satu bentuk penipuan dan cubaan untuk memperdaya orang ramai dengan mengaitkan JIM bagi mengaut keuntungan secara tidak sah.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak tidak mudah terpedaya dengan tawaran tersebut.
“JIM menyeru semua pihak agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau iklan yang disebarkan melalui media sosial yang menjanjikan urusan imigresen secara ‘pintu belakang’.
“JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan pemantauan dan siasatan terhadap akaun-akaun media sosial yang dikesan menjalankan aktiviti penipuan ini sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri dan JIM akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kegiatan tidak sah yang boleh menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem imigresen negara.
*OLEH : HANUM RAJAK