19 JUL : Putrajaya masih belum menerima sebarang maklumat berkait terkini keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low di China seperti dilaporkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyemak perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya tidak dapat maklumat. Kita belum dapat apa-apa maklumat. Bagi saya semak dahulu. Saya sudah baca (laporan).
“Saya akan check (semak) dengan Menteri Dalam Negeri,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkait laporan media yang mendakwa Jho Low kini menetap di kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport palsu Australia.
Anwar ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar, hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa mendedahkan Jho Low menjalani kehidupan mewah di kawasan eksklusif Green Hills.
Pendedahan itu dibuat dalam program bertajuk ‘Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright’ menerusi saluran YouTube, malam tadi.