4 OGOS : Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang menghimpunkan wakil negara-negara ASEAN bakal berlangsung mulai 19 hingga 21 Ogos ini.
Satu kenyataan bersama akan dicapai berkait bidang kerjasama perundangan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, Malaysia sedia untuk memainkan peranannya dalam memperkukuh kerjasama undang-undang serantau.
“Diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, ia bakal menghimpunkan menteri-menteri undang-undang dan kehakiman dari negara-negara ASEAN bagi mencapai satu kenyataan bersama (Joint Statement) dalam bidang kerjasama perundangan.
“Joint Statement ini sangat penting kerana ia menggambarkan komitmen negara-negara ASEAN, termasuk kementerian undang-undang, kehakiman dan agensi berkaitan untuk bekerjasama dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
“Terutamanya dalam beberapa bab undang-undang yang boleh diguna pakai secara bersama”, katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pra-Peluncuran Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di
di Parlimen, hari ini.
Forum itu akan membincangkan soal cabaran perundangan serantau seperti timbang tara antarabangsa, mediasi, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dalam amalan perundangan, reformasi undang-undang jenayah dan komersial, insolvensi rentas sempadan serta hak asasi manusia dalam perniagaan.
Forum itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Ogos 2025.