6 OGOS : Kerajaan menegaskan tiada keperluan terhadap pemisahan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sekretariat Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ia susulan tidak timbul sebarang isu konflik kepentingan terhadap badan itu.
Menurut Azalina, bagi menjayakan NACS ia memerlukan pembabitan pelbagai pihak.
“Peranan pemantauan yang dilaksanakan SPRM tidak menimbulkan sebarang isu konflik kepentingan memandangkan NACS adalah inisiatif nasional yang membabitkan pelbagai pihak.
“Ia juga memerlukan komitmen kolektif semua agensi dalam usaha memerangi jenayah rasuah secara menyeluruh di Malaysia.
“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa terbuka akan sebarang cadangan penambahbaikan selaras dengan semangat dan aspirasi reformasi institusi, di mana sebarang cadangan akan diperhalusi dengan lebih lanjut bersama dengan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikan melalui jawapan bertulis yang disiar laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) adakah kerajaan bercadang memisahkan tugas SPRM sebagai sekretariat NACS selepas mengambil kira peranan agensi tersebut sebagai pelaksana dan penilai, sehingga berupaya mewujudkan konflik berkepentingan.
NACS 2024-2028 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei 2024 yang menggariskan 60 substrategi merangkumi pencegahan rasuah secara sistematik, pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan mekanisme pemantauan dan pelaporan yang berstruktur.
Inisiatif itu bukan sahaja menjurus kepada penambahbaikan institusi malah bertujuan memperkukuh integriti perkhidmatan awam dan memperluas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Pencapaian NACS juga menjadi antara faktor utama kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Azalina juga berkata, semua strategi itu dilaksanakan ketua agensi termasuk SPRM.
“SPRM dipertanggungjawabkan untuk membincang, membantu dan menyelaras pelaksanaan substrategi yang dipertanggungjawabkan kepada agensi peneraju melalui Mesyuarat Penyelarasan Prestasi yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sebanyak dua kali setahun.
“Pencapaian NACS ini juga akan dibentangkan secara berkala dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” katanya.