26 OGOS : Kementerian Pendidikan Malayia (KPM) sudah memulakan proses siasatan berkait insiden seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya meneliti semua aspek termasuk dakwaan buli.
“Saya mengambil perhatian kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini. Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital.
“Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Pada masa sama, KPM juga telah memulakan proses siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
“Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Sabak Bernam dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad memaklumkan pelajar itu kini sedang ditidurkan susulan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan otak.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku buli dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti kejadian ini melibatkan salah laku buli.
Selain itu, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan juga akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
Beliau turut mendoakan kesembuhan segera kepada pelajar malang itu selain kesabaran kepada keluarga dalam menghadapi ujian itu.
*OLEH : HANUM RAJAK