27 OGOS : Semua ahli UMNO termasuk pemimpin perlu menggunakan saluran parti untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata itu sudah menjadi tradisi parti sejak dulu.
“Kalau seseorang tak puas hati, dia boleh lapor ke lembaga disiplin parti…itu memang tradisi partilah.
“Dia apa-apa pun isu selalunya bawa kepada perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang, hari ini.
Azalina mengulas soal konflik yang tercetus Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Akmal mencabar Lokman agar berdepan dengannya selepas didakwa kononnya beliau mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai bakal Perdana Menteri.
Lokman menggelar Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu sebagai ‘Ketua Pemuda H20’.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata sebarang isu berbangkit boleh dibawa ke mesyuarat parti untuk dibincangkan.
“Kalau siapa tak puas hati, dia boleh bawa dalam perbincangan. Saya tidak ada masalah. Kalau siapa puas hati, tak puas hati dia boleh bawa dalam perbincangan,” katanya.
Terdahulu, Pemuda UMNO Kapar menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO mendesak tindakan diambil terhadap Lokman atas dakwaan melanggar disiplin dan etika parti.