1 SEPT : Kapasiti pemprosesan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan sebanyak 60 peratus susulan lonjakan transaksi, semalam.
MyKasih memaklumkan ia bagi memastikan transaksi bagi pelaksanaan Penghargaan SARA hari ini dapat dapat berjalan dengan lebih lancar.
“Pasukan teknikal kami terus memantau prestasi sistem secara aktif dan sedang mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan.
“Sehingga jam 5.00 petang hari ini, hampir 600,000 transaksi telah berjaya disempurnakan iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah transaksi pada waktu yang sama semalam,” kata MyKasih dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan MyKasih melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem malam tadi sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan, hari ini.
Ia susulan sistem tergendala yang dilaporkan di beberapa kawasan selepas transaksi semalam jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.
Dalam pada itu, MyKasih berkata jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta transaksi, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara.
“Walau bagaimanapun, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi, khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.
“Beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatat bilangan penerima SARA yang tinggi mengalami kesesakan, terutamanya semasa waktu puncak antara jam 1.00 hingga 2.30 petang.
“Keadaan ini mungkin berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu yang panjang. Selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit sekali beri RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi menguruskan situasi ini, staf MyKasih ditempatkan di pasar raya besar terpilih bagi membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada para peniaga.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak seperti pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.
Selain itu, turut diingatkan bahawa kredit RM100 Penghargaan SARA itu sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.