KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) ingin mengucapkan tahniah kepada 78,863 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma/ Setaraf yang berjaya ditawarkan tempat ke Universiti Awam bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda. Kesemua calon ini adalah daripada 109,866 yang layak memohon melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), JPT.
JPT komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah telus dan adil berasaskan prinsip meritokrasi iaitu melalui pencapaian akademik 90 peratus dan pencapaian kokurikulum 10 peratus. Sistem UPUOnline menyaring setiap permohonan melalui pemarkahan merit masing-masing, dari tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat.
Proses pemilihan dan penawaran adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi syarat am, dan syarat khas program pengajian, perakuan temuduga dan/ atau ujian yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan.
KPT telah memberi jaminan kepada semua pelajar STPM/ Setaraf yang memohon melanjutkan pengajian di IPTA dengan PNGK 4.00 mendapat tempat pengajian. Berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 orang calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 telah memohon, di mana 1,249 orang calon telah pun ditawarkan tempat, manakala seramai 6 orang calon akan ditawarkan selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan.
Bagi menjawab dakwaan seorang calon STPM yang telah membuat pengaduan kepada seorang ahli parlimen, beliau telah berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian (Strategi & Organisasi Pemasaran/ Kewangan/ Operasi/ Perniagaan Antarabangsa/ Kewangan Islam/ Analitik Perniagaan) di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara yang juga merupakan pilihan ke-5 beliau sendiri.
Walaupun beliau mendapat PNGK 4.00 dalam STPM dan markah kokurikulum 9.90 yang menjadikan merit beliau adalah 99.90%. Ranking permohonannya dalam program-program perakaunan yang dimohon adalah seperti berikut:
i. UM – permohonan yang layak adalah 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperolehi merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.
ii. UPM – permohonan yang layak adalah 4,154 orang dengan seramai 1,718 orang memperolehi merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,724 dan UPM menyediakan 100 tempat untuk diisi.
iii. UUM – permohonan yang layak adalah 2,595 orang dengan seramai 1,282 orang memperolehi merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,288 dan UUM menyediakan 350 tempat untuk diisi.
iv. UTM – permohonan yang layak adalah 2,292 orang dengan seramai 1,060 orang memperolehi merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,062 dan UTM menyediakan 55 tempat untuk diisi.
Dalam hubungan ini, calon telah ditawarkan tempat berdasarkan pencapaian merit dan pilihan program yang dipohon, sama seperti calon-calon yang lain.
JPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekaligus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada. Pada masa sama, JPT terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan pada sistem sedia ada.
Kaunter konsultasi permohonan rayuan UPUOnline dibuka bagi calon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk calon yang tidak berjaya di Ruang Legar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September 2025.
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI