13 SEPT : Sistem Matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mempunyai fungsi yang berbeza.
Justeru itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim kewujudan kedua-duanya wajar diteruskan.
Namun beliau berkata, sebarang cadangan untuk menambahbaik dua institusi itu boleh dikemukakan kepada kerajaan.
“Pada pandangan saya, mahupun AMK, kita fikir apa sistem yang kita ada hari ini tak ada masalah, kita boleh teruskan kerana STPM itu ada fungsi tersendiri dan matrikulasi pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Anak Malaysia, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) memohon maaf susulan cadangan pemansuhan sistem matrikulasi yang mencetuskan rasa tidak puas hati.
UMANY mencadangkan STPM dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).
Menyentuh soal Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Muhammad Kamil berkata kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat dan terbuka untuk penambahbaikan.
“Saya percaya dalam hal ini, berkaitan dengan perluasan kedai ataupun barangan yang tergolong dalam kategori yang boleh dibayar menggunakan bantuan SARA itu akan diberi perhatian dan juga diteliti oleh pihak Kementerian Kewangan dan akan diumumkan kemudian, insya-Allah,” katanya.