Pembangunan sukan perlu seiring kemajuan ekonomi

11 OKT : Kerajaan MADANI terus memberikan sokongan padu kepada pembangunan sukan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia penting bagi memastikan sukan bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi, intelektual dan budaya.
“Saya tentu bersama Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) akan perhati dan cuba bantu apa yang mampu, sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.
“Kerana negara ini mahu maju dari segi ekonomi, budaya dan intelek tetapi tidak boleh ketinggalan dari segi sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 (HSN2025) di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.
Anwar juga tidak ketinggalan menghargai usaha semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam bidang sukan.
Dalam pada itu, Anwar berkata semua pihak perlu memperkas ausaha untuk menjadikan sukan sebagai platform bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Semalam saya sudah umumkan belanjawan yang memberi tumpuan kepada sukan olahraga sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan anak-anak muda dalam bidang ini kerana ia mampu menyemai disiplin dan semangat perpaduan,” katanya.
Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan memperuntukkan lebih RM580 juta untuk memperkukuh pembangunan sukan negara itu.
Ia merangkumi pemerkasaan sukan berprestij tinggi termasuk program Road to Gold serta persediaan Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.