10 OKT : Kesemua sembilan aktivis Malaysia yang ditahan Israel ketika misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka tiba di Malaysia petang Ahad.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Mohamad, kesemua warga Malaysia itu bertolak dari Istanbul pada jam 1.40 pagi pada Ahad.
“Alhamdulillah warga Malaysia yang ditahan rejim zionis Israel selamat sampai di Istanbul sebentar tadi.
“Mereka akan bertolak balik menaiki pesawat Turkish Airlines TK60 hari Ahad jam 1.40 pagi dari Istanbul dan di jangka sampai di KLIA pada jam 5.05 petang, insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan kesemua rakyat Malaysia itu dibawa keluar dari Israel dengan penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan selamat tiba di Istanbul, Turkiye jam 7.30 malam waktu Malaysia.
Wisma Putra berkata sembilan aktivis itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan di Istanbul sebelum kembali ke Malaysia.
Selain itu, Wisma Putra turut merakamkan penghargaan mendalam kepada kerajaan Turkiye dan semua pihak yang turut membantu serta memberi sokongan dalam usaha membebaskan kesemua rakyat Malaysia itu.
Sembilan rakyat Malaysia itu antara 150 aktivis FFC dan TMTG dari 25 negara menaiki kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Israel pada Rabu lalu di kedudukan kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 10.50 pagi waktu Malaysia.