16 OKT : Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan reformasi serta-merta melibatkan lima komponen utama termasuk aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata reformasi pendidikan negara itu bagi memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua.
Tiga aspek lain adalah pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) dan bimbingan serta sokongan daripada guru (Teacher Care and Support).
Menurut Fadhlina, pelaksanaan reformasi itu akan dijalankan di kesemua 10,243 sekolah seluruh negara yang akan dinilai setiap 15 hari.
“Dalam aspek kesihatan mental, pengukuhan dan intervensi kesihatan mental akan diberi keutamaan, khususnya pengukuhan ekosistem, sokongan kepada guru pembimbing dan kaunseling serta para murid, selain melibatkan Kementerian Kesihatan serta rakan strategik dalam bidang berkaitan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkait tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil kementerian bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol di dalam kelas tidak berulang.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pihak sekolah dengan kerjasama agensi kerajaan juga akan menjalankan pemeriksaan berkala dan mengejut bagi memastikan tiada unsur bahan terlarang serta berbahaya masuk ke sekolah.
Menurut Fadhlina, bagi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial akan menumpu kepada menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak.
“CPP pula akan melibatkan semua pihak berkepentingan, iaitu ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah dalam memastikan kesedaran, akauntabiliti semua pihak terhadap keselamatan murid manakala bimbingan serta sokongan daripada guru melibatkan pengukuhan sistem sokongan psikososial kepada guru,” katanya.