17 OKT : Kerajaan mengawalkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi fasa keempat berbanding jadual asal pertengahan November.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan bayaran STR itu akan dibuat mulai esok sempena perayaan Deepavali.
“Bagi fasa ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.
“Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut MoF, jumlah penerima bagi fasa keempat ini meningkat sehingga 500,000 individu dan isi rumah daripada 8.3 juta berbanding fasa pertama Januari 2025 susulan keputusan Kerajaan MADANI untuk membuka permohonan baharu serta rayuan sepanjang tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI bertekad untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan segenap lapisan rakyat Malaysia.
“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya.
Dalam pada itu, kata MoF pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 akan terus dibuka sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
Ketika pembentangan Belanjawan MADANI Keempat pada 10 Oktober lalu, peruntukan keseluruhan STR dan SARA mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.
Kata MoF, data penerima sedia ada akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan SARA 2026 mengikut syarat yang ditetapkan.
“Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar,” menurut MoF.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama.
Namun, orang ramai diingatkan agar sentiasa waspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebagai perlindungan daripada kes penipuan, pihak MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.