Urus hasil negara sebaiknya sebelum perkenal cukai baharu

21 OKT : Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada sistem tadbir urus yang bersih bagi memastikan hasil negara diurus dengan berhemah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan melaksanakan cukai baharu jika pengurusan hasil kutipan sedia ada tidak dikendalikan sebaiknya.
“Mengapa kita perlu mengenakan cukai sedangkan hasil yang dikutip selama ini belum dibelanjakan dengan baik?
“Mengapa perlu kita beranggapan bahawa hasil yang telah dikutip itu dibelanjakan dengan sempurna dan tiada kebocoran?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmu Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini.
Tegasnya, moral dan integriti mesti menjadi asas kepada sebarang dasar ekonomi termasuk percukaian susulan kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat terus menanggung beban tanpa jaminan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengulang hasil penguatkuasaan yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini berjaya mengembalikan RM15.5 bilion dana awam.
Namun yang mengejutkan kata Anwar, masih terdapat pihak yang memperlekeh usaha kerajaan mengekang rasuah dan penyelewengan tersebut.
“Kalau kita ikuti perbahasan di Parlimen, hampir tiada sokongan kecuali daripada penyokong kerajaan, manakala pembangkang pula memperlekehkan usaha ini,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA