30 OKT : Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Kerjasama Pertahanan buat julung kalinya, hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MoU yang julung kali dimetrai itu memformalkan kerjasama pertahanan yang dilaksanakan sebelum ini secara tidak rasmi.
“Sebelum ini, kita tidak mempunyai satu rangka kerja yang khusus, formal dan berstruktur.
“Dengan perjanjian ini, kita boleh menyusun dan memastikan kerjasama ini berjalan dengan baik serta menepati keperluan pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis tersebut yang berlangsung selepas mengadakan mesyuarat dua hala antara dengan Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus di Kuala Lumpur, mulai esok.
Menurutnya, MoU itu menandakan langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan pertahanan dan keselamatan antara Malaysia dengan AS.
Mohamed Khaled berkata melalui perjanjian itu, tumpuan akan diberi kepada pertukaran pegawai, peluang latihan serta bantuan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan.
“Diplomasi pertahanan bukan bermakna kita menerima ‘sedekah’. Ia adalah usaha bersama antara negara-negara untuk memperkukuh keupayaan pertahanan masing-masing.
“Lagi berkesan diplomasi kita, lebih ramai rakan negara yang mahu bekerjasama dengan kita,” katanya.