30 OKT : Hanya satu kerusi masih belum dimuktamadkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berbincangan dengan wakil GRS, semalam.
“Ya, semalam Pengerusi PH dan Nurul Izzah (Anwar), Timbalan Presiden PKR telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) dan juga Datuk Seri Masidi Manjun, wakili GRS (Setiausaha Agung GRS).
“Tujuan perjumpaan adalah untuk memuktamadkan proses perbincangan kerusi dan saya boleh sebut di antara keduanya ini sudah pun selesai, kecuali satu. Ada sikit lagi kami kena selesaikan,” katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Rintis Badan Pendamai antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 November ini dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.

*Foto : Facebook Saifuddin Nasution Ismail
Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MoU itu menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua agensi di bawah kementeriannya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memperkukuh fungsi tribunal perkahwinan di bawah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian (BKC), JPN.
“Selama ini, BKC berperanan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian sivil bagi pasangan bukan Islam. Namun dalam aspek kaunseling dan pendamaian, keupayaannya agak terhad.
“Di sinilah LPPKN melengkapkan peranan tersebut melalui khidmat kaunseling profesional yang mampu membantu pasangan berkonflik mencari titik damai dan memahami makna sebenar sebuah perkahwinan,” katanya.
Menurutnya, projek rintis yang diuji di Kuala Lumpur pada November 2024 hingga September 2025 menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
“Kerjasama ini telah diuji melalui Projek Rintis Badan Pendamai. Hasilnya amat memberangsangkan iaitu 16% daripada 83 pasangan berjaya didamaikan di bawah bimbingan LPPKN, berbanding hanya 2% kadar kejayaan nasional sebelum ini.
“Kejayaan rintis inilah yang menjadi asas kepada pemeteraian MoU hari ini. Melalui perjanjian selama tiga tahun hingga 2028, kerjasama ini akan diperluas ke seluruh negara dan digerakkan melalui lima bidang utama termasuk penyelidikan, pembangunan dan pewartaan LPPKN sebagai badan pendamai rasmi.
“Besar harapan saya agar kerjasama ini menjadi landasan kukuh dalam memperkasa institusi kekeluargaan di negara kita,” katanya.