30 OKT : Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji kaedah paling berkesan dan pantas untuk mengawal selia permainan video dalam talian.
Ia susulan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di negara ini.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat sudah dijalankan namun keputusan rasmi masih belum dapat diumumkan memandangkan ia masih di peringkat penelitian.
“Insya-Allah, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) akan mula berkuat kuasa awal tahun depan dan akta ini akan digunakan untuk memastikan platform media sosial serta penyedia perkhidmatan dalam talian menyediakan ekosistem yang selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya sedang meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian termasuk Roblox.
Beliau juga meminta diberikan masa untuk penelitian sebelum pengumuman dibuat.
“Kita sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik.
“Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh,” katanya.
Mengulas soal pertemuan pihaknya dengan wakil Roblox, Fahmi berkata wakil tersebut agak gementar susulan pendedahan polis yang mengaitkan kes kelar dan tikam yang berlaku di Batu Pahat dengan permainan dalam talian tersebut.
“Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.
“Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah,” katanya.
Namun katanya, setakat ini kerajaan masih belum membuat keputusan rasmi berkait perkara itu.
“Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat oleh abangnya, 9.
Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila hilang kira-kira 1 juta mata terkumpul dalam permainan Roblox selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata penyedia aplikasi OMI juga akan dipanggil dalam masa terdekat susulan laporan yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki selepas berkenalan melalui aplikasi berkenaan.
“Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. MCMC sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia,” katanya.
