3 NOV : Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, dijadual mengadakan lawatan bersejarah ke Rumah Putih awal November ini.
Ini menjadikan beliau pemimpin Syria pertama yang berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) dalam lebih 80 tahun.
Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani berkata lawatan itu dianggap sebagai permulaan era baharu dalam hubungan dua hala antara Damsyik dan Washington.
Antara agenda utama perbincangan ialah penarikan balik sekatan ekonomi serta usaha membina semula hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Dalam laporan media, utusan khas AS ke Syria, Tom Barrack menyatakan bahawa Ahmed dijangka menandatangani perjanjian untuk menyertai pakatan antarabangsa menentang kumpulan ISIL (ISIS) semasa lawatan tersebut.
Lawatan ke Washington ini dilihat sebagai langkah penting yang menandakan perubahan dasar luar Syria ke arah yang lebih terbuka dan pragmatik dalam era pasca-Assad.
Sejak mengambil alih pemerintahan daripada Bashar al-Assad pada Disember lalu, Ahmed aktif memulihkan hubungan Syria dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Pertemuan pertamanya dengan Presiden AS, Donald Trump berlangsung di Arab Saudi pada Mei lalu, menandakan interaksi rasmi pertama antara kedua-dua negara dalam lebih dua dekad.
Pada September, Ahmed turut berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, memperkukuh kedudukan diplomatik Syria di arena antarabangsa.