Keuntungan syarikat penting tapi ambil kira nasib pekerja bawahan
4 NOV : Pekerja bawahan tidak wajar dipandang rendah berikutan peranan penting yang turut dimainkan dalam menyumbang kepada syarikat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata nasib golongan itu perlu terus diperjuangkan sambil beliau menekankan pentingnya nilai kemanusiaan dalam pembangunan negara.
“Bagaimana kita dapat membangunkan manusia jika tiada keprihatinan dan kasih sayang? Semua itu menuntut kefahaman menyeluruh. Keuntungan syarikat itu penting, tetapi nasib pekerja di peringkat paling bawah juga perlu diambil kira.
“IJN (Institut Jantung Negara) terkenal kerana perkhidmatan dan kepakaran yang bertaraf dunia, namun kejayaan itu turut disumbangkan oleh pekerja seperti tukang cuci yang memastikan kebersihan bangunan.
“Tanpa mereka, IJN tidak mungkin mencapai nama baik seperti sekarang. Mereka di peringkat atasan wajar diberi ganjaran setimpal, tetapi yang bekerja di bawah termasuk tukang cuci tandas juga mempunyai maruah dan sumbangan terhadap kejayaan organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ketika merasmikan Kolej Universiti IJN, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pembangunan negara tidak akan bermakna sekiranya masih ada golongan miskin yang terpinggir daripada arus kemajuan.
“Saya mahu Malaysia menjadi negara yang mengekalkan nilai kemanusiaan yang tinggi. Ketika di Korea kita berbincang mengenai kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, saya tetap menekankan kepentingan nilai murni.
“Jangan biarkan kemajuan menjadikan kita hilang, runtuh atau mengorbankan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut berharap Kolej Universiti IJN dapat memenuhi keperluan negara dan rakyat termasuk memberi peluang kepada pelajar miskin yang cemerlang dalam bidang berkaitan tetapi berdepan kekangan untuk melanjutkan pelajaran.

Menurutnya lagi, kehebatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonominya tetapi juga melalui mutu pendidikan dan sistem kesihatan yang unggul.
“Negara yang hebat ialah negara yang berilmu, berperikemanusiaan dan penuh ihsan bagi memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, tidak tersisih daripada peluang mendapat pendidikan dan rawatan kesihatan yang berkualiti.
“Atas asas itu, kerajaan memberi tumpuan besar kepada dua teras utama dalam belanjawan negara yakni pendidikan dan kesihatan sebagai landasan utama agenda perubahan dan pembangunan Malaysia,” katanya.