8 MEI : Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak berpusu-pusu untuk menukar kad pengenalan, MyKad kepada yang baharu mulai 1 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ciri keselamatan baharu pada MyKad yang akan diperkenalkan pada 1 Jun ini tidak mewajibkan rakyat menukarnya secara serentak.
“Jadi apabila kita kata mulai 1 Jun kita akan memperkenalkan MyKad baharu dengan ciri keselamatan baharu, itu yang kita maksudkan.
“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, tetapi tidak disebut semua rakyat perlu menukar kad secara serentak.
“Sekarang ada lebih 20 juta rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad. Jadi saya minta jangan berpusu-pusu pada 1 Jun pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tukar. Ambil masa sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar, hari ini.
Beliau mengulas soal MyKad baharu yang akan diperkenalkan bulan dengan ciri keselamatan dipertingkatkan.
Menurutnya, undang-undang hanya menyatakan setiap rakyat Malaysia wajib memiliki MyKad apabila berumur 12 tahun.
“Namun undang-undang tidak menyatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka,” jelasnya.

Semalam, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata MyKad baharu itu akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 pada MyKad sedia ada.
Ini termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro dan kod respons pantas (QR) bagi penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi dipertingkatkan.