4 NOV : Amerika Syarikat (AS) menggantung pembiayaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga pembaharuan dilaksanakan dalam organisasi itu.
Perkara itu dimaklumkan Duta AS ke PBB, Mike Waltz.
“Presiden (Donald Trump) telah menggantung pembiayaan daripada Amerika…Kita menahan dana ini hingga pembaharuan dapat dilihat,” kata Waltz.
Menurut Waltz, tiada Presiden AS lain pada abad ke-21 yang pernah berbuat sedemikian.
Katanya, PBB sudah mengurangkan bajetnya sebanyak 15 peratus termasuk mengurangkan sehingga 18 peratus kakitangan dan 25 peratus daripada pasukan pengaman global.
“Setiausaha Agung PBB mengemukakan pelan pembaharuan dinamakan UN80 sempena ulang tahun ke-80 PBB untuk menyatukan beberapa agensi yang dianggap tidak terkawal.
“Beliau akan mengurangkan kos pentadbiran yang membazir. Kita memberikan pendekatan ‘tough love’ kepada PBB demi menyelamatkan organisasi itu daripada kelemahannya sendiri dan memacu perubahan.
“Presiden tahu bagaimana menggunakan pengaruh itu dan tugas saya ialah memastikan PBB melaksanakannya,” katanya.
Trump melalui draf bajet bagi tahun fiskal 2026 mencadangkan agar pembiayaan untuk operasi Pengaman PBB dihentikan atas alasan ia tidak berkesan serta membebankan AS.
Malah Trump turut mencadangkan agar kebanyakan sumbangan wajib dan juga semua sumbangan sukarela kepada badan-badan PBB termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) serta bajet tetap organisasi itu digantung.