18 NOV : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi meningkatkan infrastruktur digital di Sabah.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata peruntukan itu termasuk untuk pembangunan bandar pintar dan ketersambungan Internet.
“MCMC menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM2 bilion di Sabah bagi meningkatkan infrastruktur digital, termasuk ketersambungan Internet dan pembangunan bandar pintar.
“Seiring pengumuman tersebut, MCMC mengesahkan bahawa peruntukan melebihi RM2 bilion ini merangkumi inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di seluruh Sabah,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, Salah satu inisiatif utama ialah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu melalui kerjasama strategik pihaknya dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.
Kata MCMC, inisiatif itu melibatkan pembangunan infrastruktur digital bernilai lebih RM300 juta.
“Ia merangkumi empat komponen utama seperti perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan ‘smart poles’ berintegrasi 4G dan 5G serta sistem CCTV pintar yang berhubung terus ke pusat operasi bandar pintar (Integrated Operations Centre),” kata MCMC.
Bagi meluaskan lagi liputan di Sabah, MCMC berkata pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.
Peruntukan ini menurut MCMC merangkumi kos pembangunan serta kos operasi bagi tempoh lima tahun.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah dan mencapai liputan 100% di kawasan berpenduduk,” kata suruhanjaya itu.
Kata MCMC lagi, shingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta untuk lima tahun.
“Melalui penyediaan ruang pembelajaran komuniti yang menawarkan akses Internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital, NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan,” kata MCMC.
Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera.
Kata MCMC, sebanyak sembilan kem tentera di Sabah sudah menerima manfaat inisiatif berkenaan yang melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan kos sebanyak RM14.2 juta.
Dalam pada itu, MCMC kekal komited untuk memastikan setiap usaha ini diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah, sama ada dari segi kualiti rangkaian, pengalaman pengguna, keselamatan dalam talian mahupun pembangunan bandar pintar.