Hubungan ASEAN-Kesatuan Afrika perlu lebih jauh
20 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Afrika perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar simbolik.
Ssebaliknya beliau menegaskan ia perlu dibangunkan melalui kerjasama tulen yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, walaupun rangka kerja dan inisiatif sedia ada memadai sebagai asas, kedua-dua rantau perlu lebih proaktif mewujudkan mekanisme yang menumpukan kepentingan bersama, berasaskan pengalaman masing-masing dalam aspek ketahanan, pembaharuan dan pemulihan.
“Dalam senario semasa realiti geopolitik yang mendesak kita untuk merombak semula pendekatan strategik, saya lebih mengenang semangat yang membawa kepada pengisytiharan kerjasama antarabangsa dan diterima pakai pada Persidangan Asia-Afrika di Bandung, Indonesia, tujuh dekad lepas yang meletakkan asas ideologi bagi Gerakan Berkecuali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Belia Afro-Malaysia di Addis Ababa, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata tiba masanya bagi ASEAN dan Kesatuan Afrika menghidupkan kembali semangat itu bagi membentuk kerjasama baharu yang kukuh, saling menguntungkan dan realistik yang bukan sekadar slogan.
Pada masa sama, beliau turut menekankan keperluan komuniti Selatan Global berganding bahu menghadapi cabaran global.
“Secara kolektif, tidak kiralah sama ada di Afrika, Asia, Amerika Tengah dan Selatan serta pelusuk lain dunia, kita tidak pernah berdepan satu peluang untuk membentuk semula peranan yang diletakkan dalam aturan global.
“Kita perlukan banyak kepimpinan yang lebih mewakili serta saksama dalam struktur serantau dan global yang sedang terbentuk pada masa ini.
“Kepimpinan yang berasaskan kerjasama dan bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan dan bukan setakat golongan berkuasa dan kaya.
“Inilah perbincangan kita di beberapa bahagian Asia dengan rakan-rakan berpendirian sama di Eropah, Pasifik dan Amerika Selatan…malah saya yakin ini akan lengkap menerusi penglibatan Afrika,” katanya.
