10 DIS : Malaysia meraih kemenangan penting di pentas antarabangsa selepas Mahkamah Rayuan Paris memutuskan untuk membatal sepenuhnya ‘final award’ berjumlah AS$14.9 bilion (RM61.38 bilion) yang sebelum ini diberikan kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Dalam keputusan itu, mahkamah itu mengarahkan pihak tersebut membayar kos prosiding sebanyak €200,000 (RM957,140) kepada kerajaan Malaysia.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan pembatalan dibuat kerana arbitrator dari Sepanyol, Gonzalo Stampa tiada kuasa untuk mengeluarkan ‘final award’ tersebut pada 28 Februari 2022, memandangkan tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
“Malaysia percaya kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium untuk memeras wang dan aset milik rakyat Malaysia.
“Bagaimanapun, Malaysia tetap bersedia untuk meneruskan perjuangan di mana-mana mahkamah jika mereka masih meneruskan tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, Putrajaya sentiasa komited untuk mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada apa yang disifatkan sebagai tuntutan palsu dalam penipuan Sulu.
Keputusan Mahkamah Rayuan Paris ini juga melengkapkan siri kemenangan Malaysia dalam beberapa prosiding berkaitan yang berlangsung sejak beberapa tahun lalu.
Tuntutan tersebut bermula apabila lapan individu warga Filipina yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu memfailkan proses timbang tara di Sepanyol, menuntut berbilion dolar berkaitan isu Sabah.
Pada Mac 2019, mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai arbitrator namun beliau tetap meneruskan prosiding walaupun pelantikannya dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol sebelum mengeluarkan ‘final award’ bernilai AS$14.9 bilion itu.