20 DIS : Penolakan pengundi Cina di Sabah terhadap parti kerajaan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) lalu merupakan isyarat untuk kerajaan negeri melakukan penambahbaikan.
Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan rakyat itu mesti dihormati dan parti-parti kerajaan perlu memberi perhatian kepada perkara itu.
“Kalau kita lihat contoh di Papar khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis majoritinya Cina, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar, saya fikir sudah lebih lima pilihan raya kita kalah.
“Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu semasa saya bertanding, ada peningkatan tapi masih kalah. Alhamdulillah, DUN Pantai Manis ditandingi dan dimenangi calon GRS.
“Jadi kalau disebutkan secara keseluruhan masyarakat Cina menolak GRS ataupun rakan-rakan kita itu kurang tepat. Apa yang penting masyarakat itu mungkin memberikan isyarat yang memerlukan kita untuk mengambil perhatian terhadapnya.
“Kita perlu terima, hormati keputusan ini dan melihat apa perkara yang perlu kita tambah baik untuk mewujudkan keyakinan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Papar, hari ini.
Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sebahagian kerajaan negeri hari ini hanya memenangi satu kerusi melalui DUN Melalap dan tewas di 21 kerusi lain yang ditandingi.
DAP yang merupakan parti komponen PH tewas di semua kerusi yang disandang sebelum ini di Sabah.
Mengulas soal GRS, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, ‘post mortem’ dijalankan usai PRN17 selain memastikan semua manifesto GRS dipenuhi .
“Paling penting manifesto dan komitmen yang kita terjemahkan kepada hala tuju kerajaan negeri. Saya fikir semua rakyat kita, termasuk kaum Cina di Sabah ini menantikan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Selepas pilihan raya berakhir, kita tidak boleh ‘berbulan madu’ terlalu lama. Lebih kurang dua minggu lagi tahun baharu akan bermula. Jadi saya ingin berpesan kepada rakan khususnya yang ada dalam jemaah menteri untuk mempertahankan pelan ini,” katanya.
