2 JAN : Pemuda UMNO menolak cadangan untuk mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata rancangan itu perlu digagalkan sama seperti Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Sebelum ni URA, selepas itu pilihanraya PBT (pihak berkuasa tempatan). Kali ini pilihanraya Datuk Bandar KL pula.
“Mereka tetap mereka. Kita jangan lalai. Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihanraya PBT sebelum ini,begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Kajian itu katanya sudah dijalankan sejak Disember lalu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Sementara itu, Akmal turut mengingatkan semua pihak agar tidak lalai dengan perebutan kuasa yang merugikan.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.
Cadangan mengembalikan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu pernah dikemukakan DAP Wilayah Persekutuan pada 2023.