1 JAN : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim zionis Israel untuk melarang dan menggantung operasi sejumlah besar organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.
Kementerian Luar atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata tindakan itu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun kritikal, susulan lebih dua tahun serangan berterusan rejim tersebut terhadap rakyat Palestin di wilayah berkenaan.
“Halangan terhadap bantuan kemanusiaan ini merupakan satu bentuk hukuman kolektif terhadap orang awam, di samping menjejaskan prinsip kenetralan dan kebebasan operasi organisasi kemanusiaan.
“Rejim Israel, sebagai kuasa pendudukan, tertakluk kepada tanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan akses kemanusiaan ke Gaza dilaksanakan tanpa halangan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk mendesak Israel menarik balik keputusannya serta memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan dilakukan secara penuh dan tanpa sekatan.
Tegas Wisma Putra, Israel juga mesti dipertanggungjawab atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan.
“Malaysia sekali lagi menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan penamatan kekejaman Israel, penghapusan sekatan terhadap Gaza serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut Wisma Putra lagi.