5 JAN : Amerika Syarikat (AS) menafikan tindakan operasi ketenteraan di Venezuela Sabtu lalu sebagai satu pencerobohan atau untuk menguasai sumber minyak negara itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan operasi ketenteraan hingga penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro tidak menyalahi undang-undang antarabangsa.
Rubio mendakwa tindakan AS itu merupakan sebahagian usaha memerangi jenayah terancang dan pengedaran dadah yang dikaitkan dengan pentadbiran Maduro.
“Kami tidak berperang dengan Venezuela. Kami berperang dengan organisasi pengedaran dadah yang merosakkan institusi negara itu.
“Ini bukan tentang minyak. Ini bukan pencerobohan. Ini bukan tindakan haram. Ini adalah tindak balas terhadap ancaman segera terhadap keselamatan negara,” katanya dalam program Face the Nation pada Ahad.
Rubio mendakwa Presiden AS mempunyai kuasa perlembagaan untuk bertindak terhadap ancaman sedemikian.
Sabtu lalu, Maduro dan isterinya, Cilia Flores ditahan dalam satu operasi ketenteraan besar-besaran di Caracas dan dibawa ke New York.
Keduanya ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan Brooklyn dan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan di Daerah Selatan New York atas tuduhan berkaitan pengedaran dadah dan kerjasama dengan kumpulan jenayah terancang.
Tindakan AS itu mendapat pelbagai reaksi antarabangsa termasuk yang mempertikaikan operasi tersebut.
Namun ada juga yang menyambut baik tindakan tersebut sambil menyifatkan ia permulaan kepada pemulihan demokrasi di Venezuela.