STR disalur 20 Jan, SARA pada 9 Feb
5 JAN : Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 sebanyak RM500 akan dibuat bermula 20 Januari ini.
Sementara bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 akan dikreditkan pada 9 Februari ini untuk setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari dan Amanat Tahun 2026, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, bantuan menjelang Ramadan dan Tahun Baru Cina itu disalurkan kepada 22 juta rakyat yang layak.
“SARA tahun ini untuk semua rakyat, ini maksud untuk persiapan Ramadan dan juga sambutan Tahun Baru Cina.
“Tahun lalu SARA ini digunakan oleh 96 peratus rakyat iaitu mencecah hampir 2.1 billion namun jumlah yang tidak dibelanjakan adalah RM150 juta,” katanya.