Negara yang berdagang dengan Iran dikenakan tarif 25%
13 JAN : Semua negara yang masih meneruskan hubungan perdagangan dengan Iran dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu diumum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melalui satu hantaran di platform media sosial.
Tarif itu dilihat sebagai langkah tekanan besar Washington terhadap Tehran berikutan protes antikerajaan yang meragut lebih 600 nyawa setakat ini.
Sebelum ini, Trump berulang kali memberi amaran kepada Iran di mana dia tidak teragak-agak untuk melancarkan campur tangan ketenteraan sekiranya pentadbiran Tehran menggunakan kekerasan yang membunuh penunjuk perasaan.
Trump menegaskan garis merah yang ditetapkan AS sudah pun dilanggar maka tindakan ketenteraan yang serius sedang dipertimbangkan terhadap Iran.
Antara rakan dagang utama Iran adalah China, Brazil, Turkiye dan Rusia yang kini bakal terkesan dengan pengenaan tarif tersebut.