14 JAN : Kerajaan MADANI akan mula menyalurkan bantuan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 kepada penerima yang layak mulai 20 Januari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata bagi fasa ini, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan yang memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
“Penerima akan menerima sebanyak RM100 sehingga RM500, mengikut kategori kelayakan masing-masing,” menurut MoF.
Menurut kenyataan itu, MoF berkata kerajaan menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 selaras usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan inisiatif kerajaan dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan kepad arakyat.
“Di bawah penambahbaikan ini, lebih 8 juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih; menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat.
“STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan,” kata MoF.
Katanya, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan iaitu RM15 bilion.
Namun, bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Soalan lazim (FAQ) berkenaan STR juga disediakan di portal tersebut, manakala status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) SARA boleh disemak terus melalui portal rasmi SARA https://sara.gov.my.
Menurut MoF, kelayakan STR berdasar kepada had pendapatan seperti yang ditetapkan.
“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” kata MoF.
Dalam pada itu, katanya, semua pemohon juga bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” tegas kementerian itu.
Selain itu, penerima STR diingatkan agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” maklum kementerian itu lagi.
