17 JAN : Kerajaan tidak teragak-agak menarik balik bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terhadap mana-mana penerima yang tidak mematuhi syarat ditetapkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bantuan yang disalur kerajaan bagi membantu mereka memerlukan yang tidak sepatutnya disalahgunakan.
“Bila kerajaan nampak ada cara yang tidak sepatutnya, macam kes yang dilaporkan, kerajaan akan tarik balik.
“Usaha kerajaan adalah untuk membantu mereka yang memerlukan. Kita tak nak orang untuk menyalah guna sistem yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Komuniti MyPlus di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (SMK(P)) Bukit Kuda, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) menarik balik kelayakan seorang penerima STR dan SARA selepas pendedahan dibuatnya melalui sosial media.
Lelaki itu mengaku memiliki enam buah rumah sewa namun turut menerima bantuan kerajaan tersebut.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata individu tersebut tidak melaporkan pendapatannya kepada kerajaan.
“Tahap kewangan dia mungkin lebih baik daripada tahap yang dibenarkan untuk STR. Namun, dia tak melaporkannya. Jadi, dia tidak berhak,” katanya.
Beliau sempat merakam penghargaan kepada orang awam yang menjadi mata dan telinga kerajaan dengan melaporkan sebarang salah guna bantuan kerajaan.
Semalam, MoF melalui satu kenyataan mengesahkan satu siasatan dijalankan berkait dakwaan yang tular itu dan mendapati pemilikan hartanah tersebut benar.
“Berdasarkan maklumat pindah milik yang direkodkan dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Hartnah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau.
“Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau ditarik balik. LHDN juga meneruskan siasatan lanjut berkaitan pengisytiharan pendapatan yagn tidak dilaporkan,” kata kementerian itu.