2 FEB : Kerajaan sedang mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan keputusannya dijangka diperoleh bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pilihan raya itu dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurutnya, struktur pentadbiran sedia ada sudah melibatkan terlalu banyak unit dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Jika saya datuk bandar, nasihat siapa yang perlu saya dengar? Adakah saya perlu mendengar ahli Parlimen yang dipilih, penasihat DBKL atau ahli majlis bandar raya?” katanya lapor Malaysiakini yang memetik Yeoh melalui temu bual bersama China Press.
Kata Hannah lagi, kajian itu sudah dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak Disember lalu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemuka November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Menurut Hanna, jika pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan untuk memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur atau ahli majlis bandar raya ia tidak akan dijalankan serentak.
Tambahnya, penggubalan undang-undang atau pindaan terhadap Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 perlu dilaksanakan jika pilihan raya itu diadakan.