3 FEB : Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton dan isterinya yang juga bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton bersetuju memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan negara itu dalam kes Jeffrey Epstein.
Jurucakap keluarga Clinton, Angel Urena dilaporkan berkata keputusan itu dicapai selepas menjalankan rundingan.
“Mereka berunding dengan niat yang baik. Anda (jawatankuasa) tidak. Mereka memberitahu anda dengan bersumpah apa yang mereka tahu, tetapi anda tidak peduli.
“Namun, bekas Presiden dan bekas Setiausaha Negara akan hadir. Mereka berharap dapat menetapkan satu duluan yang terpakai kepada semua orang,” katanya menerusi satu hantaran di laman X, semalam.
Sepina dihantar pada 5 Ogos tahun lalu kepada pasangan tersebut dan lapan bekas peguam negara serta pengarah FBI bagi memberi keterangan dalam siasatan semula kes berkenaan.
Namun pasangan Clinton ketika itu enggan memberi keterangan dengan alasan sepina tersebut tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.
Bagi kes itu, didedahkan bahawa jumlah keseluruhan data yang dikeluarkan melebihi 3.5 juta fail dan merangkumi sebutan mengenai ramai tokoh berpengaruh.
Pada 2019, Epstein didakwa di AS atas tuduhan pemerdagangan seks kanak-kanak bawah umur dan konspirasi untuk melakukan jenayah itu.
Namun, Epstein ditemukan mati dipercayai akibat bunuh diri di dalam sel penjaranya beberapa minggu selepas jaminan ditolak oleh mahkamah Manhattan pada Julai 2019.