11 FEB : Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan mata pelajaran Sejarah sekolah rendah hanya ditawarkan kepada murid Tahun 5 dan Tahun 6 dalam pelaksanaan kurikulum baharu.
Pengesahan itu dibuat melalui satu kenyataan susulan penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“KPM mengambil perhatian laporan media mengenai penawaran mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
“Sewaktu sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh telah menjelaskan mengenai kurikulum baharu yang akan bermula pada tahun hadapan melibatkan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1.
“Bagi mata pelajaran Sejarah, pada peringkat sekolah rendah ia ditawarkan kepada murid Tahun 5 dan Tahun 6. Manakala pada peringkat sekolah menengah, ia ditawarkan kepada murid bermula di Tingkatan 1,” menurut kenyataan itu.